Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Facebook hampiri angka 500 juta pengguna

| 0 comments

 

FACEBOOK kini dianggarkan sudah memiliki 500 juta orang pemegang akaun. facebook belum membuat pengumuman rasmi tetapi berdasarkan rekod, angka 300 juta diraihnya pada September 2009, 350 juta pada Disember 2009 dan 400 juta pada Februari lalu. Bermakna setiap tiga bulan ia meraih 100 juta pemegang akaun baru. Maka boleh dianggar sejak Februari hingga April, ia sudah melebihi 500 juta.


Seandainya facebook adalah sebuah negara, ia senang-senang menduduki tempat ketiga negara terbesar di dunia di belakang India dan China! Bezanya facebook sebagai sebuah negara, tidak memerlukan sistem politik atau pertahanan ketenteraan. Satu-satunya isu berlarutan yang menjadi keluh-kesah ‘penghuni’ facebook ialah perihal privasi atau kebersendirian.


Pasti ramai yang memiliki akaun facebook sudah melalui proses pengenalan dan pemahaman mengenai fungsi-fungsi yang ada padanya. Ini terutama berkaitan perkara yang boleh diposkan dalam pernyataan atau komen ke atas pernyataan rakan-rakan. Pasti ada yang belajar di peringkat ini bahawa tidak semua menganggap apa yang anda fikirkan (What‘s On Your Mind) sesuai untuk semua orang, meskipun mereka bergelar ‘rakan-rakan’.
Sesekali anda akan terjumpa ayat yang diposkan dalam paparan facebook ini tertera perkataan ‘aku marah sangat’, ‘lapar!’, ‘geramnya!’. Ringkas tapi sarat dengan ekspresi yang menyeru kita untuk memberi pandangan simpati. Daripada sudut psikologi, penulis sedemikian memang berdepan dengan masalah mental. Persoalannya, apakah kita iaitu ‘rakan-rakan’ facebook berkelayakan untuk menjadi perunding psikologi? Apa jadi kalau dalam cubaan menenangkan itu, ia bertukar menjadi kalut dan penulis mental itu berkesudahan mencabut nyawanya sendiri? Bunyinya agak ekstrem tetapi macam-macam kes sudah dilaporkan berkaitan facebook.


Ini sama dengan mereka yang menyatakan dalam ruangan Status Hubungan peribadinya dengan pernyataan ‘Ia adalah rumit’ (It‘s Complicated). Apa yang rumitnya? Kalau dah kahwin, mengaku sajalah. Kalau tidak mahu, tidak perlu nyatakan apa-apa. Bila dinyatakan ‘rumit’, siapa yang merumitkan hubungan? Berhentilah bermain facebook dan sila baik pulih kerumitan hubungan anda!


Sejak ‘terserempak’ dengan gerombolan rakan sekelas 1989, akaun saya tumbuh mendadak. Hasrat untuk mengurangkan bilangan rakan ke paras bawah 300 gagal sama sekali. Masalahnya, terdapat fungsi tidak menarik dalam facebook ini iaitu ciri ‘Orang Yang Anda Mungkin Tahu’ (People You May Know) iaitu menawarkan kawan kepada kawan anda supaya menjadi kawan pula. Ada sesetengah kawan yang dicadangkan itu tidak semestinya anda kenal atau suka pun masa sekolah dulu. Bila dimasukkan sebagai kawan, dia akan kata ‘hello, apa khabar?”. Dan kemudian kembali menyepi sama seperti 21 tahun sebelum ini.


Luahan


Facebook juga semakin kerap menjadi medan luahan politik. Ini mungkin ekoran ledakan kesedaran di kalangan ahli politik mengenai perlunya ada akaun facebook. Secara umumnya diperhatikan, ahli politik yang sudah bertapak lama, tidak banyak mengutus kenyataan. Sesekali mereka memberi komen mengenai isu yang diminati. Yang kerap berbuat demikian ialah pemimpin di peringkat akar umbi. Kadang-kadang boleh tahan tetapi bila sudah emosi, pernyataan yang diturunkan amat menyedihkan. Malah menjengkelkan.


Facebook juga menjadi medan menyaksikan kesedaran politik mendadak di kalangan rakan-rakan sama ada media atau sektor lain. Ini jelas dalam minggu ini berikutan kes flotila pembebasan Gaza. Ramai yang mengutus pernyataan sokongan terhadap aktivis dan mengecam Zionis. .


Entah macam mana facebook boleh disifatkan sebagai platform terbaik untuk menayangkan apa sahaja gambar peribadi daripada wajah diri sendiri sebelum atau selepas dibedak, hinggalah kepada wajah anak-anak. Ada juga yang menjadikan gambar anak sebagai gambar dinding. Mereka lupa ia boleh mengelirukan rakan-rakan sebenarnya.Facebook juga menjadi pentas untuk orang menunjuk-nunjuk destinasi yang dilawatinya. Sebenarnya tidak salah. Gambar itu dituju kepada ‘rakan-rakan’ sahaja, jadi ia bukan menunjuk-nunjuk sengaja. Mungkin ada yang akan kagum dengan destinasi luar negara itu, walaupun setakat Hadyai di selatan Thailand. Tetapi ia sedikit tidak adil kepada rakan-rakan yang hanya mampu bercuti ke pantai Bagan Lalang yang mula segan hendak menyiarkannya dalam facebook.


Tulisan Dan Fletcher dalam majalah TIME menyatakan facebook memiliki lebih banyak kelebihan berbanding ciptaan dalam Internet hari ini seperti Microsoft, Google atau YouTube. facebook memiliki ‘pelaburan emosi para penggunanya’.
facebook menyebabkan kita tersenyum, terkesima, kecewa bila tiada sesiapa memberi reaksi kepada apa yang diposkan, ketawa terhadap rakan sekolah dulu yang kini sudah botak dan gemuk.
facebook kata Fletcher, juga kaya dengan peluang-peluang sentuhan peribadi seperti meraikan langkah pertama anak buah dan menyatakan kesedihan terhadap kematian rakan karib. Namun syarikat facebook, mencipta wang kerana anda, pada satu tahap, menyiarkan detik-detik peribadi itu dalam talian. ‘‘Perasaan yang anda alami di facebook adalah menyentuh perasaan, data yang anda sediakan menyentuh keuntungan syarikat,” katanya.


Terserah kepada diri anda sendiri bagaimana hendak menjadikan facebook ini sebagai wadah yang memberi kelebihan kepada diri atau sebaliknya. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mengutus pernyataan berbaur negatif terutama yang bernada menghentam atau mengkritik orang atau apa benda secara keterlaluan. Bila sudah mencecah tahap keterlaluan, anda mungkin mendapati diri anda dihadapkan ke mahkamah dan seterusnya menjadi bahan perbincangan pula dalam facebook.

Oleh Johardy Ibrahim

- UTUSAN

KLIK SINI, Teruskan Membaca Facebook hampiri angka 500 juta pengguna

Terik matahari bawa penyakit

| 0 comments

 

Cuaca panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Di negeri-negeri sebelah utara, cuaca panas terik disusuli kemarau yang mengeringkan sungai-sungai dan juga sawah.

Sementara di Lembah Kelang pula, bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun untuk seketika. Di kawasan selatan dan pantai timur juga turut mengalami keadaan yang sama.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa terakhir monsun timur laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding bulan Disember dan Januari lalu.

Secara perbandingan, suhu lebih tinggi pada Februari hingga April berbanding bulan lain.

Suhu yang dicatatkan pada 1 hingga 23 Februari lalu menunjukkan antara 34oC hingga 36oC. Sedangkan purata suhu negara ini adalah sekitar 28oC hingga 33oC.

Rekod suhu paling tinggi pernah dicatatkan di negara ini pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis ialah 40.1oC iaitu ketika fenomena El Nino melanda.

Sementara itu, suhu maksimum juga pernah dicatatkan ditempat yang sama, Chuping dan Pulau Langkawi pada 21 dan 26 Februari 1998 dengan suhu 38.6oC.

Sepanjang tempoh 1 hingga 23 Februari lalu juga, bacaan di 26 daripada 35 stesen meteorologi di seluruh negara menunjukkan hujan turun kurang daripada paras sederhana, empat stesen pula pada paras sederhana dan hanya lima melebihi paras itu.

Kawasan yang menerima hujan rendah adalah Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi), Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, Sabah (semua bahagian) dan Sarawak (Miri, Bintulu dan Limbang).

Terdapat tiga peringkat HRI berlaku iaitu:

1. Kejang akibat kepanasan (heat cramps)

l Sakit otot di bahagian abdomen, lengan dan kaki yang berlaku disebabkan oleh aktiviti berterusan.

l Badan tidak berpeluh ketika melakukan aktiviti berat yang berterusan menyebabkan anda terdedah kepada heat cramps.

l Perpeluhan melampau hingga menyebabkan garam dan cecair dalam badan kehabisan, menyebabkan paras garam rendah dalam otot.

l Heat cramps juga merupakan contoh lesu akibat kepanasan (heat exhaustion).

2. Lesu akibat panas (heat exhaustion)

l Bentuk ringan HRI yang boleh berlaku akibat beberapa hari terdedah kepada suhu tinggi dan tidak mendapat keseimbangan cecair dalam badan.

l Mereka yang berusia dan mempunyai tekanan darah tinggi serta berkerja atau bersukan di bawah terik mentari lebih terdedah kepada masalah ini.

l Tanda-tanda adalah berpeluh melampau, pucat, kejang otot, keletihan, lemah tubuh badan, pening-pening, sakit kepala, muntah, mabuk dan pengsan.

l Lain-lain simptom berkaitan - kulit sejuk dan lembap, denyutan lemah atau laju, pernafasan lemah atau terlalu laju.

Jika mengalami lesu akibat panas, sila ambil langkah ini:

l Minum air kosong, jus buah-buahan atau minuman isotonik.

l Rehat dalam kawasan pendingin hawa.

l Mandi atau berendam dalam air.

l Pakai pakaian nipis

3. Strok panas (heat stroke)

Keadaan paling teruk bagi HRI. Biasanya disebabkan bersukan atau kerja berat di kawasan panas ditambah dengan cecair yang kurang dalam tubuh badan. Tanda-tanda mengalami heat strok:

l Suhu badan terlalu tinggi (melebihi 40oC boleh menyebabkan pengsan)

l Kulit menjadi merah, panas dan kering (tiada peluh)

l Nadi kuat dan laju

l Kepala berdenyut-denyut

l Pening-pening, muntah, keliru, tidak sedar diri.

Kanak-kanak, orang tua, individu obes dan individu yang kurang berpeluh (akibat keturunan) berisiko tinggi mengalami masalah ini.

Bagi atlet yang mengalami keadaan ini di padang, tiba-tiba mereka hilang kawalan diri dan tidak memahami permainan. Atlet itu tidak sedar dia sedang mengalami keadaan strok panas, simptom hanya boleh dilihat oleh orang di sekelilingnya.

Rawatan strok panas:

Seandainya sukar untuk merendamkan mangsa dalam air sejuk gunakan kaedah ini:

l Mandikan mangsa dengan air sejuk

l Renjis air sejuk pada mangsa menggunakan pam air taman

l Span mangsa dengan air sejuk

l Letakkan beg ais pada leher, ketiak dan kawasan sulit.

l Jika kelembapan rendah, balut mangsa dengan selimut basah dan sejuk dan kipas.

Perhatikan suhu badan dan teruskan proses penyejukan hingga suhu badan menurun kepada 36oC atau 37oC (mangsa perlu dikeluarkan daripada air untuk menghalang penyejukan lampau apabila suhu stabil).

l Jika mangsa sedar, beri dia minum air sejuk

l Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian doktor sekali pun rawatan di padang berjaya.

Ruam panas

Satu lagi penyakit yang sangat sinonim dengan cuaca panas. Ia terjadi akibat pendedahan kepada suhu yang panas secara berterusan. Juga disebut miliaria. Masalah seperti urtikaria (gatal-gatal) dan tidak berpeluh juga termasuk sebagai ruam panas. Biasa berlaku ketika musim panas terutama jika kelembapan tinggi. Keadaan ini boleh berlanjutan berhari-hari jika tidak dirawat dan memerlukan rawatan profesional andai peringkat serius.

Jenis-jenis ruam panas

l Jernih (miliaria kristalina)

l Putih/ kuning (miliaria pustulosa)

l Merah (miliaria rubra)

l Dalam (miliaria profunda)

Risiko ruam panas

Semua orang terdedah kepada ruam panas. Namun mereka yang lebih terdedah kepada masalah ini adalah:

l bayi

l kanak-kanak berumur di bawah empat tahun

l atlet atau individu yang berkerja di kawasan panas atau terik matahari

l obesiti

l pesakit yang sukar bergerak (bed ridden)

l individu yang kurang atau tidak berpeluh secara kongenital (keturunan)

l pekerja ketenteraan

Punca

Berlaku apabila liang peluh dan bulu roma pada permukaan kulit tersumbat. Kelenjar peluh dengan peluh yang terperangkap menyebabkan muncul benjolan kecil yang mengandungi air pada kawasan kulit.

Peluh manusia mengandungi garam yang tinggi, sangat berpotensi menyebabkan iritasi kulit dan ruam panas.

Kerana itu pentingnya membasuh peluh dengan air dan sabun.

Simptom

Ruam panas biasanya muncul dalam bentuk benjolan kecil dalam jumlah yang banyak di bahagian folikel bulu roma. Di sesetengah kawasan, ia mungkin berwarna merah atau merah jambu.

Lebih teruk, ruam panas boleh menyebabkan iritasi teruk dan muncul tompok-tompok merah lebih besar dan gatal-gatal.

Sesetengah individu mengalami ruam panas sangat gatal dan sesetengah pula tiada kesan tertentu.

Kawasan yang sering terjadi ruam panas adalah muka, leher, belakang, abdomen, kemaluan, di bawah dada, lipatan siku dan punggung.

Rawatan profesional

Kebanyakan kes ruam panas pulih dengan sendiri tanpa rawatan doktor. Ruam panas yang berpanjangan perlu didiagnos melalui karakter kulit dan sejarah ruam sebelum ini. Ruam yang teruk memerlukan ujian mikroskopik atau biopsi kulit. Lain-lain ujian yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan sama ada jangkitan bakteria, ekzema atau jangkitan kulat.

Penjagaan sendiri di rumah

Kebanyakan ruam panas boleh pulih tanpa rawatan. Sesetengah kes pulih sehari selepas bertukar kepada kawasan yang lebih sejuk.

Langkah untuk penjagaan ruam panas:

1. Basuh kawasan ruam dengan sabun lembut. kemudian bilas dengan air dan kringkan dengan tuala. Basuh beberapa kali setiap hari terutama selepas bersenam atau bersukan, berjalan jauh atau terdedah kepada matahari.

2. Duduk di kawasan yang sejuk (di bawah bumbung dan biarkan kulit bebas bernafas).

3. Mandi atau berendam dalam air sejuk.

4. Rehat dalam kawasan berpendingin hawa (21 hingga 22oC) sebagai terapeutik. Jika tiada alat pendingin hawa di rumah, boleh keluar bersiar-siar di kawasan mempunyai pendingin hawa.

5. Elakkan sentuhan kulit ke kulit di kawasan lipatan seperti bawah dada dan abdomen dengan meletakkan kain kapas atau material menyerap peluh.

6. Letak pek sejuk di kawasan yang mengalami ruam panas (jangan letak melebihi 20 minit dalam satu jam).

7. Gunakan ubat niacin.

Cara mengelak ruam panas

l Pakai pakaian menyerap peluh seperti kapas.

l Elakkan penggunaan fabrik nylon dan poliester.

l Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan kering. Periksa lampin mereka dan tukar lebih kerap kerana bayi lebih mudah terkena ruam lampin.

l Air liur bayi yang meleleh mengundang penyumbatan folikel liang roma menyebabkan ruam panas.

l Individu yang terlantar sakit di katil perlu bergerak untuk mengelakkan peluh berterusan di kawasan yang sama.

Faktor yang memburukkan ruam panas

l kelembapan tinggi

l Suhu tinggi

l Aktiviti jakuzi, sauna dan bilik stim.

l demam

l selaran matahari (sunburn)

l berpeluh kerap atau hiperhidrosis

l pakaian yang ketat dan fabrik tidak mesra pengaliran udara

 

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
(Terima kasih Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Awam DEMC)

-Utusan Malaysia

KLIK SINI, Teruskan Membaca Terik matahari bawa penyakit

Facebook punca masalah sosial kalangan remaja Indonesia

| 0 comments

 

Majlis Ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya tidak wajar.

Kritikan itu kerana Facebook kini menjadi medium penting di Indonesia, bahkan di seluruh dunia untuk orang ramai berkomunikasi di dunia maya. Sehingga rakan-rakan yang puluhan terpisah, dapat ditemui semula hanya melalui Facebook.

Selain menghubungkan silaturahim, Facebook juga menjadi alat komunikasi secara percuma tanpa mengira, jarak atau batas sempadan negara.

Namun perkembangan yang begitu cepat menyebabkan banyak pihak belum bersedia dengan kesan buruk yang muncul bersama teknologi terkini itu.

Facebook ibarat pisau yang mempunyai dua mata, selain memberi kemudahan, ia juga mempunyai keburukan jika tidak dapat dikawal, khususnya bagi golongan remaja dan murid-murid sekolah yang masih mentah serta dangkal fikirannya.

Memiliki akaun Facebook bagaikan suatu yang wajib di Indonesia dan sesiapa tidak mempunyai akaun Facebook dia akan dianggap telah ketinggalan zaman.

Di negara republik itu juga para pengendali telekomunikasi berlumba-lumba menawarkan pakej langganan dan telefon bimbit yang mempunyai kemampuan mengakses Facebook pada kadar yang cukup murah.

Kebanjiran telefon bimbit dari negara China dengan ciri-ciri akses Facebook menyebabkan kanak-kanak yang masih berada di sekolah rendah telah mampu memiliki telefon bimbit sedemikian.

Dengan berjimat duit belanja sekolah untuk beberapa bulan mereka telah dapat membeli sebuah telefon bimbit sedemikian.

Selain itu mereka juga dapat mengakses Facebook di kafe siber yang berselerak di seluruh Indonesia, khususnya di kota-kota utama.

Kini Facebook menjadi masalah baru kepada ibu bapa yang tidak mengikuti perkembangan teknologi itu. Anak-anak yang masih berada di bangku sekolah rendah menjadikan Facebook untuk berkenalan dengan teman yang baru.

Baru-baru ini seorang murid perempuan sekolah rendah di Jakarta hilang dari rumah kerana mengikut teman lelaki yang dikenali melalui Facebook.

Bagaimanapun selepas dua hari hilang, murid perempuan itu ditemui oleh orang ramai dan diserahkan kepada ibu bapanya setelah kisah kehilangan murid berkenaan dihebahkan oleh sebuah stesen televisyen.

Teman lelakinya baru berusia belasan tahun, ditangkap polis, namun akhirnya dia dibebaskan kerana ibu bapa gadis berkenaan menarik kembali laporan polis, setelah mendapati anaknya selamat dan tidak diapa-apakan.

Sebelum itu seorang gadis berusia 14 tahun diculik oleh teman lelaki yang baru dikenali melalui Facebook. Setelah berjaya dikesan polis, gadis itu diselamatkan dan teman lelakinya telah diberkas dan kini didakwa di mahkamah kerana menculik.

Empat orang pelajar sebuah sekolah menengah pula dibuang sekolah kerana menulis kata-kata kesat dan mengugut guru wanita mereka di dalam Facebook.

Sebelum itu seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah kerana menghina rakannya di dalam Facebook.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Nasional Perlindungan Anak Indonesia, Arist Merdeka Sirait berkata, fenomena baru itu harus diawasi oleh ibu bapa kerana ia memberi kesan yang negatif kepada anak-anak jika tidak digunakan dengan betul.

Ibu bapa katanya, tidak seharusnya melarang anak-anak daripada memiliki akaun Facebook, sebaliknya mereka perlu sama memiliki akaun berkenaan dan menjadi kawan kepada Facebook anak mereka sebagai langkah pencegahan dan kawalan daripada pengaruh yang tidak baik.

Badan bukan kerajaan itu setakat ini telah menerima 36 aduan berhubung kes anak dan remaja yang menjadi mangsa kepada Facebook sejak Januari hingga Februari tahun ini.

Untuk penculikan anak, kami mencatat ada tujuh kasus yang dilaporkan," kata Arist.

Menurut Arist, laporan tersebut menunjukkan modus operandi perdagangan anak dan mangsa rogol berpunca daripada Facebook.

Namun aspek utama yang harus diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah masa meluangkan masa untuk anak-anak.

Kebanyakan anak-anak yang terbabit dengan gejala sosial berpunca daripada sikap ibu bapa yang gagal meluangkan masa untuk anak-anak.

Anak-anak khususnya perempuan memerlukan perhatian, pujian, kasih sayang dan pengiktirafan. Jika itu tidak diperolehi di rumah mereka akan mencarinya di luar. Cara paling mudah adalah dengan mencari kenalan melalui Facebook.

Apabila anak-anak mula mencurah perasaan melalui Facebook dan tidak lagi kepada ibu atau bapanya, ia merupakan petanda bahawa akan timbul masalah.

Oleh BORHAN ABU SAMAH

-Utusan Malaysia

KLIK SINI, Teruskan Membaca Facebook punca masalah sosial kalangan remaja Indonesia

Google Buzz saingan Facebook?

| 0 comments

 

 

Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.


APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua 'F' bermain di kotak fikiran kita. Facebook dan Friendster - kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.

Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.

Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.

Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.


Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.

Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.

Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.

Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.

Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.

MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?


Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.

Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.

Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab

 

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
rencana@kosmo.com.my
KLIK SINI, Teruskan Membaca Google Buzz saingan Facebook?

Ovi Maps Di Muat-Turun Lebih 1.4 Juta Kali

| 0 comments

 

image

 

Setelah memperkenalkan Ovi Maps secara percuma sebelum ini, kini Nokia mengeluarkan statistik pertama berkaitan dengannya, yang mana memperlihatkan Ovi Maps telah pun dimuat-turun sebanyak lebih daripada 1.4 juta kali sejak ianya diperkenalkan pada bulan Januari yang lepas.

Ovi Maps yang diperkenalkan oleh Nokia secara percuma ini membolehkan para pengguna menggunakan fungsi navigasi, selain membawakan fungsi-fungsi peta mudah-alih serta juga fungsi geolokasi dengan amat mudah sekali. Kini, dengan lebih daripada 1 juta pengguna Ovi Maps, ianya sekaligus memudahkan para pembangun aplikasi sekiranya berkeinginan untuk menyertakan fungsi berasaskan lokasi yang mana kian meningkat popularitinya pada ketika ini.

Buat masa ini, lima negara yang paling banyak memuat-turun Ovi Maps adalah China, Itali, UK, Jerman dan juga Sepanyol. Manakala telefon bimbit yang sering digunakan untuk memuat-turunnya adalah Nokia 5800 XpressMusic, Nokia N97 Mini, Nokia N97, Nokia 5230 dan juga Nokia E72.

 

Antara kelebihan Ovi Maps With Navigation dari Nokia:

  • Peta disimpan di dalam memori kad dan tidak memerlukan sambungan internet untuk memuat turun peta secara masa nyata seperti Google Map.
  • Informasi trafik di sepuluh buah negara secara percuma
  • Panduan lorong jalan raya dan juga amaran perangkap had laju
  • Fungsi untuk laluan pejalan kaki, dengan penunjuk jalan pintas yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki
  • Percuma panduan melancong “Lonely Planet/Michelin”

Buat masa ini, kepada pengguna Nokia X6, N97 mini (N97 biasa masih belum boleh menggunakan Ovi Maps versi ini), E72, E55, E52, 6730 classic, 6710 Navigator, 5800 Xpressmusic, 5800 Navigation Edition, atau 5230 boleh memuat turun perisian Ovi Maps percuma dari laman Nokia

info:http://amanz.my/ KLIK SINI, Teruskan Membaca Ovi Maps Di Muat-Turun Lebih 1.4 Juta Kali

Filem 'Avatar' ambil alih 'Titanic' filem box office tertinggi

| 0 comments

 

image

 

 

LOS ANGELES: Filem epik sains fiksyen, 'Avatar' mencatat rekod baru filem box office mengalahkan 'Titanic' dengan jumlah kutipan terkini mencecah AS$1.85 bilion.


"Pada Isnin, 25 Januari, ’Avatar’ secara rasminya melepasi kutipan ’Titanic’ untuk mencatat satu sejarah baru dalam dunia Studion 20th Century Fox dalam kenyataannya semalam.


Pengarah “Avatar”, James Cameron yang melancarkan versi tiga dimensi (3-D) Avatar, kelmarin kini mendahului kutipan AS$16 juta daripada filem Titanic yang juga rahannya.

“Avatar” kini memperoleh kutipan AS$1.859 bilion berbanding pemenang Oscar “Titanic,” yang rekodnya berjumlah AS$1.843 bilion. – AFP

Sumber: Berita Harian

KLIK SINI, Teruskan Membaca Filem 'Avatar' ambil alih 'Titanic' filem box office tertinggi

Amaran ancaman keselamatan pengguna Internet Explorer

| 0 comments

CyberSecurity Malaysia hari ini mengeluarkan amaran keselamatan kepada semua pengguna Internet yang menggunakan perisian peluncur Microsoft Internet Explorer kerana terdapat unsur kerapuhan yang kritikal.


Ketua Eksekutifnya, Husin Jazri, berkata dalam satu kenyataan hari ini, situasi itu dirujuk sebagai "0-day" kerana kerapuhan itu didedahkan disebabkan belum ada tampalan (patch) yang disediakan oleh vendor terbabit.


"Kerapuhan itu dengan mudah boleh dieksploitasi jika pengguna melawat laman web yang dicipta oleh penyerang. Penyerang akan menghantar URL (alamat laman web) kepada pengguna menggunakan email untuk mengelirukan mereka, sedangkan mereka sebenarnya memasuki ke laman yang berniat jahat," katanya.


Beliau berkata, kerapuhan itu juga boleh digunakan oleh pencipta kod yang berniat jahat untuk memasang komputer dengan pelbagai ancaman seperti trojan atau virus untuk menyerang komputer mangsa.


sumber:harian metro

KLIK SINI, Teruskan Membaca Amaran ancaman keselamatan pengguna Internet Explorer

Firefox Versi 3.6 Bakal Di Lepaskan Hari Ini

| 0 comments

Setelah sekian lama dinanti, akhirnya Firefox 3.6 yang dinanti-nanti bakal akan dilepaskan pada penghujung hari ini kelak, yang mana bakal membawakan pelbagai perkara dan fungsi baru dalam dunia pelayaran web daripada Mozilla ini.

 

 

 

Melalui pengumuman khas daripada pihak Mozilla, mereka mengumumkan yang mana para pengguna boleh memuat-turun Firefox 3.6 secara rasmi melalui laman Firefox.com pada hari Khamis, 21 Januari. Melalui Firefox 3.6 kelak, para pengguna boleh menikmati kebolehan untuk mengubah antaramuka Firefox mengikut kegemaran anda melalui fungsi Personas, selain melayari laman web dengan menggunakan pelayar yang stabil, selain membawakan kebolehan untuk mengetahui sebarang Addon yang mempunyai kemaskini.

Pada masa yang sama, Firefox 3.6 juga didatangkan dengan kebolehan Orientasi Desktop, serta berfungsi lebih 20% lebih pantas berbanding versi sebelumnya, Firefox 3.5. Sama-sama kita nantikan kemunculan Firefox 3.6 pada hari ini.

sumber: http://amanz.my/

KLIK SINI, Teruskan Membaca Firefox Versi 3.6 Bakal Di Lepaskan Hari Ini

Avast Free Antivirus 5.0 dilancarkan

| 0 comments

Setelah membawakan Avast 5.0 versi Beta pada bulan Ogos yang lalu, kini Avast Antivirus 5.0 sedia untuk dimuat-turun yang mana membawakan antaramuka baru, beserta dengan sokongan kepada Windows 7 yang dipertingkatkan, beserta dengan beberapa perkara baru yang lain.

Avast 5.0
Antaramuka Avast 5.0 Yang Serba Baru

Bersama-sama dengan pengenalan Avast 5.0, mereka juga turut bekerjasama bersama Google, dimana kini, aplikasi mereka sudah mula ditawarkan pada Google Pack, dan Google Chrome pula ditawarkan bersama-sama dengan pemasangan Avast Antivirus. Selain daripada antivirus percuma, produk-produk lain Avast juga menerima kemasikini, seperti Avast! Internet Security dan juga Avast! Pro Antivirus.

Melalui Avast 5.0 Free Antivirus, mereka membawakan antaramuka serba baru, selain tidak lagi memerliukan pendaftaran melalui emel untuk produk antivirus mereka seperti dulu, penambahan fungsi Gaming Mode, dan dibawakan dalam pelbagai bahasa utama dunia .Selain daripada itu, Avast! juga memperkenalkan logo serba baru untuk produk mereka, yang mana membawakan nafas baru kepada produk mereka.

sumber: http://amanz.my/

KLIK SINI, Teruskan Membaca Avast Free Antivirus 5.0 dilancarkan

Menara tertinggi dunia, Burj Khalifa dirasmikan

| 0 comments

bangunan tertinggi

 

Ketika berdepan kemelut kewangan, bangunan dan menara tertinggi dunia yang baru - Burj Dubai - dibuka dengan rasminya malam tadi dengan ketinggian 828 meter (2,717) di tengah padang pasir Dubai.

Dengan percikan bunga api, pembinaan struktur paling mengagumkan itu dirasminya pemerintah Dubai, Sheikh Mohammad Rashed al-Maktoum.

Dikenali sebagai Burj Dubai ketika pembinaannya, Sheikh Mohammad bagaimanapun malam tadi mengisytiharkan nama baru kepada mercu tanda baru dunia itu sebagai Burj Khalifa iaitu tanda menghormati Presiden Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahayan.

Sheikh Khalifa juga adalah pemerintah Abu Dhabi, negara sekutu UAE yang membantu menyuntik AS$10 bilion tahun lalu untuk menyelamatkan syarikat pemaju hartanah gergasi Nakheel, iaitu anak syarikat Dubai World.


"Hari ini UAE berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia yang dihasilkan tangan-tangan manusia.
"ia satu projek yang hebat dan ia berhak memakai nama orang yang hebat," kata Sheikh Mohammad.

Pasukan payung terjun yang memakai pakaian ala bendera UAE iaitu hijau, hitam dan putih menyentuh potrait gergasi Sheikh Khalifa yang disemat di dinding menara yang menelan belanja AS1.5 bilion itu.


Dubai berharap Burj Khalifa akan mengembalikan semula kegemilangan ekonomi dan kewangan negarai itu yang tercalar akibat kemelut hutang, baru-baru ini.
Kerja bagi Burj Dubai bermula pada 2004 dan berterusan.
Setiap masa tingkat baru akan ditambah hampir setiap tiga hari, menunjukkan Dubai terus membentuk keadaannya sejak beberapa tahun dari sebuah padang pasir kepada sebuah kosmopolitan urban gergasi yang dipenuhi pencakar langit.

Sehingga Januari 2007, beribu-ribu pekerja yang kebanyakan mereka dibawa secara kontrak sementara dari India menyiapkan 100 tingkat bangunan terbabit.
Bangunan lengkap mengandungi lebih 160 tingkat. Ia melebihi 50 tingkat berbanding Menara Willis di Chicago, bangunan yang pernah memegang rekod paling tinggi yang dikenali di Amerika Syarikat sebagai Sears Towers. –Berita Harian

FAKTA BURJ DUBAI

KLIK SINI, Teruskan Membaca Menara tertinggi dunia, Burj Khalifa dirasmikan

Pakej Internet lebih murah

| 0 comments

ne_04.2

Semua syarikat pengendali rangkaian jalur lebar diberi tanggungjawab mengkaji pengenalan pakej yang lebih murah bagi mengurangkan beban rakyat dan meningkatkan kadar penembusan Internet di kalangan isi rumah.

Pakej lebih murah itu juga dianggap bonus tambahan kepada had tuntutan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM500 untuk langganan pakej jalur lebar tahun ini.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM), kadar penembusan jalur lebar di Malaysia ketika ini ialah 31 peratus daripada enam juta isi rumah yang diselidiki.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengakui langkah itu bukan sesuatu yang disukai oleh syarikat-syarikat terbabit tetapi mereka ada tanggungjawab sosial untuk melaksanakannya.

Di pihak kementerian itu pula, kajian pakej mampu milik akan dijalankan dengan membuat perbandingan kepada kadar caj perkhidmatan yang sama di negara seperti Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

"Kita akan mencari jalan supaya harga pakej jalur lebar di Malaysia tidak lagi mahal," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Angkasapuri semalam.

-KOSMO ONLINE

KLIK SINI, Teruskan Membaca Pakej Internet lebih murah

Related Posts with Thumbnails